Ekonomi

PM gagal memahami keresahan rakyat – pembangkang

KENYATAAN MEDIA
1. Di Tokyo, Perdana Menteri nampaknya nipis telinga dengan teguran saya berhubung keputusan
kerajaan menyasarkan pemberian subsidi bahan api tempoh hari hingga beliau melakukan
serangan politik terhadap Perikatan Nasional.
2. Rupanya, dalam pemikiran Perdana Menteri, perkara yang menggusarkan rakyat adalah
golongan ”maha kaya” dan warga asing. Padahal, isu pokok yang meresahkan rakyat adalah
kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi, yang pastinya akan
melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.
3. Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka
menjimatkan RM4 bilion setahun. Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat
perlu membayar RM4 bilion itu dari “kais pagi, makan pagi” mereka. Siapa yang akan tanggung
kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya.
4. Sebab itu, sebagai Perdana Menteri, janganlah buat kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang
nyata. Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat
sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan Harian Metro. Harga cili padi naik ke
RM28/kg berbanding RM18 sebelum ini. Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini
dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini.
5. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain. Jangkaan seorang
Pensyarah Kanan Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harga barangan akan
naik antara 3 hingga 5 peratus susulan pemotongan subsidi minyak. Bila itu berlaku, siapa
mangsanya? Fikir-fikirkanlah.
6. Sebenarnya kita tidak perlu formula rumit pun untuk faham kesusahan yang akan rakyat hadapi.
Peniaga kecil mana pergi berniaga guna kenderaan bermotor diesel dalam kalangan 10 jenis
kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri?
7. Apakah peniaga kecil seperti Makcik Kiah selepas ini perlu mengangkut goreng pisang jualannya
menaiki bas awam atau teksi jika mahu menikmati subsidi bersasar? Bila agak-agaknya Menteri
Kewangan mahu memperincikan mekanisme ini kepada Perdana Menteri?
8. Padahal, kali pertama rasionalisasi minyak ini dibentangkan adalah dalam pembentangan
Belanjawan 2024 tahun lalu lagi. Tapi, setelah 8 bulan, masih tiada pengumuman daripada mana-
mana menteri mengenai hal mekanisme penyasaran, mahupun pemberian subsidi baharu.
9. Sejak merdeka, belum pernah rakyat dipaksa menunggu sehingga 8 bulan untuk mendapatkan
penjelasan berhubung mekanisme pelaksanaan satu dasar yang amat penting terhadap ekonomi
negara melibatkan perbelanjaan harian rakyat. Jangan sampai rakyat tidak lagi percaya dengan
perutusan Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi selepas ini.
10. Teguran serta pandangan yang diberikan rakyat adalah sesuatu yang ikhlas kerana rakyat hanya
mahukan Malaysia ini berkembang menjadi sebuah sebuah negara yang aman dan makmur.
11. Apa yang pasti, rakyat tidak lupa bagaimana Perdana Menteri berjanji untuk menurunkan harga
minyak sebelum beliau berkuasa. Kegagalan menunaikan janji ini takkan dapat ditutup dengan
retorik dan serangan politik semata-mata.
12. Dalam hal ini, dasar Perikatan Nasional adalah jelas iaitu kami akan sentiasa membela rakyat
dan akan terus berusaha untuk membesarkan kek ekonomi negara, agar kemakmuran dapat
dinikmati bersama.
DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
KETUA PEMBANGKANG
25 Mei 2024 – Kuala Lumpur

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button