Ekonomi

Planworth terima anugerah E50, pacu ekonomi negara

SEBUAH institusi kewangan terkemuka, Planworth mencipta sejarah apabila menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) pada majlis anugerah yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Pengiktirafan berprestij ini disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Ramanan Ramakrishnan, sebagai penghargaan atas sumbangan besar syarikat dalam memacu pembangunan ekonomi negara. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ewon Benedick.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Planworth, Dato’ Kuek Andy, berkata bahawa anugerah ini adalah penghormatan besar kepada syarikatnya.

Namun, beliau menekankan bahawa kejayaan ini hasil daripada sokongan pelanggan yang pelbagai.

“Kami tidak berusaha semata-mata untuk anugerah. Keutamaan kami adalah membantu lebih ramai perniagaan tempatan mengurus aliran tunai dengan lebih baik, tanpa mengira saiz syarikat,” ujar Dato’ Kuek Andy.

Beliau juga menambah bahawa Planworth berpegang pada prinsip memberi bantuan ikhlas untuk mencapai kejayaan bersama pelanggan. Syarikat ini berusaha memperkasakan pelanggan dalam mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.

“Membantu keperluan kewangan dan mengembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat kami. Pertumbuhan perniagaan ini seterusnya mengukuhkan ekonomi negara, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya lagi.

Anugerah E50 ini bukan sahaja mengukuhkan jenama Planworth, yang terkenal dengan nilai “dipercayai, boleh diharapkan, fleksibel,” malah turut meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kewangan yang ditawarkan syarikat ini.

Tahun lalu, Planworth telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM500 juta dan kini mensasarkan peningkatan kepada RM700 juta tahun ini. Sejak penubuhannya, Planworth telah menyuntik lebih RM2 bilion ke dalam ekonomi negara dan berhasrat mencapai RM3 bilion dalam masa terdekat.

“Kami membantu perniagaan yang mungkin menghadapi kesukaran kewangan, termasuk mereka yang mempunyai rekod kewangan kurang baik di institusi kewangan lain. Setiap perniagaan berhak mendapat peluang kedua dan mempelajari sesuatu daripada pengalaman lepas. Selain bantuan kewangan, kami turut menyediakan khidmat nasihat untuk membantu usahawan menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa kejayaan Planworth hari ini adalah hasil daripada dedikasi kakitangan yang dianggap sebagai sebuah keluarga.

“Perniagaan adalah satu usaha yang mencabar. Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh rakyat Malaysia yang berbakat dan komited dalam membantu perniagaan berkembang. Jika kita menjaga ‘keluarga’ dengan baik, kita pasti mampu mengemudi syarikat dengan baik,” katanya.

Dalam perancangan masa hadapan, Dato’ Kuek Andy berharap Planworth akan terus menjadi peneraju institusi kewangan bukan bank terbesar di Malaysia. Syarikat ini menawarkan solusi modal kerja melalui pelbagai jenis pembiayaan, termasuk pembiayaan invois, pembiayaan belian, pengurusan modal kerja, pinjaman berjangka, kredit pusingan, serta pengurusan penghutang secara Konvensional dan Islamik untuk perniagaan (B2B dan B2G).

“Kami juga berharap Planworth dapat berkembang di rantau ASEAN, termasuk cawangan di Singapura yang telah menerima beberapa anugerah utama industri,” tambahnya.

Planworth berkait langsung dengan The Grand Columbia Group yang telah beroperasi sejak tahun 1992 dan memiliki aset bernilai lebih daripada satu bilion ringgit.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button