Politik

PKR sudah senget…

Komentar

 

PARTI pejuang reformasi ini sudah tidak relevan lagi. PKR kini retak menunggu belah.

Kongres Nasionalnya berjalan penuh hiruk-pikuk, huru-hara.

Timbalan presiden parti tidak lagi ambil peduli bosnya. Presiden pula tidak mampu mengawal orang kanannya. Anak buah bertempiaran lari. Apa sudah jadi dengan PKR?

Semalam, seramai 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada sidang Kongres Nasional parti itu membantah sesi perbahasan yang didakwa berat sebelah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa ucapan dasar Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sorotan klasik mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada pembahas lain melakukan serangan peribadi. Ini, kata mereka, memecahkan perpaduan pimpinan serta ahli parti.

Alahai PKR. Kesian. Daripada sebuah parti yang mencipta rekod prestasi cemerlang luar jangkaan meraih 49 kerusi parlimen daripada 71 yang ditandingi (69 peratus) kira-kira setahun tujuh bulan lepas, tetapi hari ini kapall PKR ibarat `tongkang pecah’. Senget menanti karam.

Nasihat Suara Merdeka buat PKR satu sahaja, iaitu “kejujuran ahli dalam mana-mana parti politik ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut dari serangan musuh”.

Meskipun kecil, anai-anai digeruni kerana upayanya menghancurkan musuh yang mahu musnahkan busutnya. Begitupun, anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri.

Anai-anai bergerak sebagai pasukan dan komited dengan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelangsungan koloni. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh. Tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.

Demikianlah agaknya PKR. Seperti mana anai-anai yang setia dan bersatu hati, jangan beri peluang kepada musuh dalam selimut.

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button