Politik

PKR mahu Azmin bersemuka, beri penjelasan – Fahmi

PKR mahu Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan secara bersemuka kepada pucuk pimpinan berhubung ketidakhadirannya di mesyuarat dan perjumpaan parti, sebelum tindakan diambil terhadapnya.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata PKR masih membuka ruang perbincangan dan menunggu maklumat daripada Mohamed Azmin sendiri.

“…tapi memandangkan beliau tidak hadir, maka kita perlu tunggu untuk maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Biro Politik PKR di sini malam ini.

Mohamed Azmin dan Naib Presiden Zuraida Kamarudin tidak menghadiri mesyuarat itu.

Ahmad Fahmi berkata sehingga kini, tiada sebarang tindakan disiplin ataupun surat tunjuk sebab diberikan kepada Ahli Parlimen Gombak berikutan ketidakhadirannya dalam mesyuarat parti.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dikatakan tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik sejak pemilihan parti pada November 2018.

Ahmad Fahmi berkata walaupun sebelum ini, terdapat kes pemimpin parti dikenakan tindakan disiplin kerana tidak hadir mesyuarat dan perjumpaan, tetapi kes Mohamed Azmin adalah ‘berbeza’.

Mengulas pertemuan Mohamed Azmin dengan sekumpulan Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang di kediaman rasminya pada Isnin, Ahmad Fahmi berkata perkara itu juga memerlukan penjelasan Mohamed Azmin sendiri.

Menyentuh desakan beberapa NGO yang mahu Naib Presiden Tian Chua kembali menjadi wakil rakyat di Parlimen Batu, Ahmad Fahmi berkata setakat ini, PKR dimaklumkan yang Tian Chua tidak akan berbuat demikian.

Baru-baru ini, 14 NGO mencadangkan supaya Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan itu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Nov yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button