PKR lepasi 1 juta anggota, 1,000 ranting
Keanggotaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencecah 1,004,629 orang manakala kekuatan ranting parti pula telah mencecah 1,108 di 222 cabang di seluruh negara.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, ia merupakan pencapaian terbaik parti sejak penubuhannya pada 21 tahun yang lalu.
“Ini membuktikkan Parti ini tetap utuh dan kuat dengan sokongan dan dokongan dari rakyat. Maklumat ini membuktikan kekuatan PKR sebagai parti massa, nasional dan pelbagai kaum yang paling berjaya dalam sejarah negara,” kata Nik Nazmi.
Namun menurutnya, pencapaian tersebut masih dianggap terlalu awal untuk diraikan.
Majlis Pimpinan Pusat PKR melalui mesyuarat bulanannya pada 26 Julai yang lalu telah mengambil ketetapan untuk menggesa setiap lapisan kepimpinan parti untuk mempergiatkan usaha kaderisasi anggota baharu.
Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan agar anggota parti memperbanyakkan penubuhan ranting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.-SM