PKR: 5 termasuk 3 ADUN dilucut keanggotaan, 1 digantung, 3 diberi amaran
LIMA orang termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri PKR dikenakan tindakan dibuang dari parti itu.
Mereka yang dibuang adalah Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang merupakan ADUN Lembah Jaya; Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin yang merupakan ADUN Seberang Jaya dan ADUN Sg. Acheh Zulkifli Ibrahim.
Turut dilucut keanggotaan adalah Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid dan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim, keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang telah mengadakan mesyuarat bulanan malam tadi selepas mempersetujui syor-syor Lembaga Disiplin parti itu.
Ahmad Raj Abdullah yang merupakan ahli biasa PKR digantung keanggotaan kerana terlibat dalam serangan fizikal terhadap Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pada 30 Mac 2020. Keanggotaan Ahmad Raj digantung sehingga selesai siasatan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu tiga anggota diberi amaran iaitu Chua Tian Chang, Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pulau Pinang, Carolyn Khor dan ADUN Machap Jaya, Ginie Lim. -SM