Nasional

PKPP: Polis keluarkan 15,000 saman trafik setiap hari

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada kelmarin (Rabu) yang antara lainnya membenarkan pergerakan merentas negeri, polis mengeluarkan 10,000 hingga 15,000 saman trafik setiap hari di seluruh negara atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, antara kesalahan ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan melanggar lampu isyarat.

Ini menunjukkan tahap disiplin pemandu ketika di jalan raya masih rendah, katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program ‘Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan: Raya atau Waspada’ terbitan Bernama TV, hari ini.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas persiapan JSPT bagi menangani pergerakan masyarakat selepas dibenarkan merentas negeri, beliau berkata, selain pasukan respons yang akan digerakkan segera untuk memastikan kelancaran aliran trafik, JSPT setiap kontinjen juga meletakkan unit kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal di setiap hentian rehat dan rawat di lebuh raya.

Mengenai aliran trafik di seluruh negara ketika ini,  Azisman berkata keadaan masih terkawal serta tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button