PKP: Anugerah Juara Lagu 35 ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan
Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang telah dirancang untuk bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 7 Februari depan akan ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios,
Datuk Khairul Anwar Salleh, pihaknya memang berharap AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Namun petang semalam, Perdana Menteri telah menguatkuasakan PKP bermula hari Rabu ini sehingga 26 Januari depan.
“Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain kerana, kerja-kerja pembinaan tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Anwar, untuk kebaikan semua pihak, pihaknya memutuskan untuk menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi.
Dia juga memohon memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35 ini.
“Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” jelasnya.
Sebelum ini, AJL35 telah dirancang untuk pada 7 Februari depan dengan tanpa kehadiran penonton bagi menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -SM