Pilihan raya kecil DUN Nenggiri 17 Ogos
Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Nenggiri, Kelantan akan diadakan pada 17 Ogos, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Dalam sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu, Pengerusi SPR, Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon akan diadakan pada 3 Ogos, manakala pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos.
Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong pada 19 Jun selepas dimaklumkan bahawa ADUNnya Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu.
Bersatu berkata, keahlian Azizi terhenti selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan kerana sokongan berterusannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azizi sejak itu memfailkan saman untuk mencabar pemecatannya serta kekosongan kerusi DUN Nenggiri. Permohonannya untuk mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan pilihan raya kecil itu dinafikan oleh Mahkamah Tinggi semalam.
Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, dipilih sebagai ADUN Nenggiri pada pilihan raya negeri Ogos tahun lalu.
Beliau menewaskan Ab Aziz Yusoff dari UMNO, dalam pertarungan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi, menandakan kali pertama Barisan Nasional kehilangan kerusi itu sejak penubuhannya pada 2004. – SM