Bola SepakSukan

Piala Suzuki AFF dipinda ke tarikh baharu pada Disember 2021

PANDEMIK Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan telah memaksa Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) meminda kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF yang sepatutnya berlangsung pada November lalu, kini dipinda ke tarikh baharu iaitu pada Disember tahun depan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan badan induk bola sepak Asia Tenggara itu, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira keutamaan AFF terhadap kesihatan dan keselamatan semua orang.

Selain itu, AFF juga mahu memastikan pihak yang berkepentingan termasuk Ahli Gabungan AFF, pasukan bertanding, para pemain dan pegawai, rakan kongsi komersial serta peminat diberi jaminan yang sewajarnya.

Presiden AFF, Major General Khiev Sameth berkata, seperti selalu, keutamaan pihaknya ialah kepada kesihatan dan keselamatan semua orang yang mempunyai kaitan dengan kejohanan tersebut.

“Sehubungan itu, kami akan terus memantau perkembangan Covid-19, baik dalam Asean mahupun di peringkat dunia secara berterusan.

“Walaupun ada hasil yang menggembirakan dalam pembangunan vaksin, kami juga menyedari bahawa proses persetujuan bagi mendapatkan penawar tersebut serta cara praktikal pengedarannya dan pelaksanaan program vaksin di seluruh dunia termasuk Asean akan memakan waktu.

“Berikutan kerumitan bagi menganjurkan kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi ramai yang terjejas akibat pandemik, maka AFF yakin dengan mengambil pendekatan pragmatik dan membuat keputusan yang dipertimbangkan lebih awal dapat membantu pihak berkepentingan dalam pertandingan itu menyusun semula perancangan aktiviti mereka.

“Malah, ia dapat membantu perancangan untuk akhir tahun dapat difokuskan pada Piala Suzuki AFF sebagai sebuah kejohanan bola sepak terbaik di rantau ini seperti selalu,” katanya.

Beliau menjelaskan, melihat kepada kepadatan jadual bola sepak pada 2021, baik di peringkat antarabangsa mahupun domestik yang terpaksa ditunda pada tahun ini, secara tidak langsung pemilihan tarikh Disember tahun depan bagi menganjurkan Piala Suzuki AFF merupakan waktu yang paling sesuai.

“Tarikh baharu tersebut iaitu bermula pada 5 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022, membolehkan kejuaraan itu dianjurkan mengikut format perlawanan beraksi di laman sendiri dan tempat lawan baik di peringkat kumpulan serta kalah mati dan stadium dapat dipenuhi dengan kehadiran peminat untuk menyokong pasukan masing-masing,” ujar Sameth.

Menurut kenyataan itu, pada awalnya tarikh baharu ditetapkan pada April-Mei tahun depan, tetapi ia dianjakkan ke hujung tahun.

Piala Suzuki AFF merupakan sebuah kejohanan bola sepak terbesar serta paling berprestij di Asia Tenggara dan bakal menyaksikan skuad kebangsaan di rantau ini bersaing bagi merebut gelaran kejuaraan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button