PH akan umum calon PRK DUN Sungai Bakap minggu depan
PAKATAN Harapan akan mengumumkan calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap minggu depan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga presiden PKR, berkata timbalannya, Rafizi Ramli, akan memutuskan tarikh untuk mengumumkan calon.
“Terdapat ramai calon yang berpotensi. Insya-Allah kami akan umumkan (pilihan) minggu hadapan.
“Tetapi, seperti biasa, kita akan bincang (pemilihan) dengan pimpinan PH dan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini.
Awal minggu ini, Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan perpaduan akan meletakkan calon daripada PKR, sambil menambah bahawa pimpinan PH dan BN telah sebulat suara bersetuju untuk itu.
Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyat daripada Pas, Nor Zamri Latiff, akibat radang perut pada 24 Mei lalu.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 6 Julai.
Zamri memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri Ogos tahun lepas, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dalam pertarungan satu lawan satu dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu tidak bertanding kerana menghormati kerusi tradisi PH.
“Ia telah dipersetujui, jadi isu ini tidak sepatutnya timbul,” katanya kepada pemberita di Serdang. – SM