Nasional

Petronas sangkal dakwaan konflik bayaran cukai kepada Sarawak

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menyangkal laporan berita bertajuk “Malaysian energy giant’s board at odds with prime minister over payment to Sarawak state.”

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata, dakwaan konflik yang berlaku melibatkan perdana menteri, Petronas dan para pemegang sahamnya hanya laporan spekulatif tanpa asas.

“Petronas sekali lagi ingin mengulangi bahawa sejajar dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 8 Mei 2020, Petronas dengan kerjasama pemegang sahamnya kini dalam proses perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak untuk mencapai penyelesaian komersial yang sesuai,” katanya dalam kenyataan itu.

Syarikat minyak nasional itu berkata ia akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya di Sarawak dan pihak berkepentingan untuk mencapai hasil terbaik dalam perkara ini.

“Hasrat kami untuk mencapai resolusi yang akan memacu kepada persekitaran perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil dan selesa dalam industri minyak dan gas, yang menjadi sangat penting berikutan cabaran pasaran semasa,” katanya.

Pada bulan lepas, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak dalam kenyataan bersama berkata syarikat gergasi minyak itu telah bersetuju membayar cukai jualan ke atas produk petroleum yang dikenakan oleh Sarawak sebanyak RM2 bilion bagi 2019. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button