Nasional

Petisyen desak SPRM tutup portal bahasa Mandarin

SEBUAH petisyen dalam talian dilancarkan untuk mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup portal berbahasa Mandarin milik organisasi itu.

Petisyen tersebut dilancarkan Angkatan Pemuda Pemudi Berjasa  (Angkasa). Ketuanya, Hazwan Mohamad berkata, desakan tersebut dibuat kerana beranggapan portal tersebut sebagai satu penghinaan terhadap identiti nasional rakyat Malaysia.

“Sepatutnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromi. Cantik di atas kertas kita ada Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152, kita ada Dasar Bahasa Kebangsaan, kita ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Adakah ini hanya di atas kertas semata?

“Kita baru sahaja menyambut Hari Malaysia ke 57 beberapa hari yang lalu. Sepatutnya kita yang mengaku sebagai warganegara Malaysia, menerima secara total bahawa kita perlukan sebuah identiti nasional yang satu untuk memastikan perpaduan dan keharmonian semua rakyat Malaysia,” kata Hazwan dalam petisyen tersebut.

Justeru beliau mendesak agar pihak SPRM menutup laman portal tersebut dengan segera.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, portal berbahasa Mandarin tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya ini.

SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu itu, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.

Portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/ 

Sementara itu tinjauan di Facebook SPRM mendapati status pengumuman mengenai kewujudan portal berbahasa Mandarin mendapat 4,500 komen dan 1,200 perkongsian daripada warganet.

Rata-rata meminta agar SPRM terus mendaulatkan bahasa kebangsaan.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button