Nasional

Petang esok Zahid Hamidi dititah menghadap Agong pula!

JIKA benar bagai ditelah, esok, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dititah oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghadap baginda Tuanku di Istana Negara.

Sebelum ini, sudah terdengar desas-desus apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘memukul canang’ beliau diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan senarai Ahli-Ahli Parlimen atau Dewan Rakyat yang menyokong beliau.

Semestinya retorik kenyataan tujuan Anwar menghadap Agong selain daripada mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Negara yang menyokongnya ialah bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam detik Anwar menghadap Agong dan politikus otai, Tengku Razaleigh Hamzah atau popular dengan panggilan Ku Li juga menghadap Tuanku secara senyap-senyap.

Dua lagi politikus iaitu Mat Sabu dan Lim Guan Eng juga akan menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguhkan.

Pendek kata, semua pemimpin parti kelak diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Cuma bilakah para pemimpin parti masuk menghadap, rakyat marhaen perlu tunggu dan lihat.

Berbalik kepada kisah Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong petang esok di Istana Negara, perkara itu disebut malam tadi pada mesyuarat tergempar UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti.

Perkara itu kemudiannya disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan usai mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi (MT) parti.

Kata Ahmad Maslan, “ Datuk Seri Zahid Hamidi dititahkan menghadap Seri Paduka Baginda pada hari Khamis, jam 5 petang.”

Kelmarin dan semalam, Zahid Hamidi berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sambung bicara kes membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datok itu.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri ketika dibisikan soalan sama ada beliau mahu membuat sebarang komen tentang Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Zahid memberi isyarat, tidak!

Lebih baik tidak mengeluarkan komen jika Presiden UMNO itu akan ‘ditembak’ kiri dan kanan, depan dan belakang gara-gara mengeluarkan kenyataan.

Ramai ahli UMNO yang gagal melihat maksud yang tersirat apabila Zahid Hamidi memberi kenyataan, tidak menghalang Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar.

Bahkan ada yang berfikiran ekstrim dengan menuduh UMNO pengkhianat tanpa menjuruskan apakah maksud sebenar tuduhan yang dilemparkan itu.

Semalam juga, mesyuarat Biro Politik MT UMNO di PWTC memutuskan, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dan akan memberi isyarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Langkah yang diambil oleh parti tertua dalam negara ini bukan kaleng-kaleng kerana kerjasama dan sokongan yang diberi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat umpama habis madu sepah dibuang.

Kata orang putih, once bitten twice shy, kalau tidak nampak juga permainan yang dimainkan oleh pihak yang satu lagi oleh UMNO, memanglah ‘tak dapek den nak nolong!”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button