‘Pesta’ memancing ikan puyu di Perlis
SUDAH masuk bulan Oktober, penduduk Perlis berpesta memancing ikan puyu di bendang atau sawah padi. Tanpa mengira umur, tua atau muda, masing-masing seronok melakukan aktiviti memancing ikan puyu sebagai salah satu riadah keluarga.
Ramai yang gemar menikmati ikan puyu sebagai hidangan tetapi bagi yang tidak makan ikan puyu, pilihan yang ada ialah membela ikan puyu di dalam akuarium.
Serius! Bela ikan puyu dalam akuarium mini bukanlah sesuatu yang pelik. Sisik ikan puyu cantik dengan warnanya yang boleh berubah menjadi kekuningan.
Sama ada benar atau tidak, bela ikan puyu dalam rumah katanya boleh mengelakkan terkena ilmu hitam. Wallahualam.
Di Perlis, musim menuai padi adalah antara akhir bulan Ogos sehingga Oktober. Inilah masanya ikan puyu menjadi tumpuan pemancing amatur.
Aktiviti memancing dilakukan lazimnya selepas waktu Asar dan sebelum masuk waktu Maghrib iaitu antara pukul 4.30 petang sehingga 7 malam.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan pemancing ikan puyu, menurut laporan BERNAMA ialah sawah sekitar Kampung Mengkuang Layar, Kampung Wang Ulu, Titi Chai dan Seriab.
Salah seorang pemancing, Azizan Ahmad, 67, berkata, setiap kali selepas musim menuai padi, beliau tidak akan melepaskan peluang memancing ikan puyu.
Selain ikan puyu, kata Azizan, beliau juga memancing ikan keli.
Katanya, jika bukan musim menuai, agak sukar untuk mendapat ikan darat seperti ini kerana pada ketika itu, air dari petak sawah dilepaskan ke tali air.
“Pada ketika itu, ikan turut masuk ke tali air susahlah ikan nak makan umpan,” katanya sambil menambah, ikan puyu ‘padang’ (sawah) lebih lazat rasanya kerana isinya lebih manis berbanding ikan puyu yang dijual di pasar.
Menurutnya lagi, ikan puyu yang dipancing selain dijadikan lauk buat sekeluarga, hasil tangkapannya juga boleh dijadikan ikan pekasam dan dijual secara kecil-kecilan.
“Ikan puyu sedap jika dibuat (masak) gulai, asam pedas atau pekasam. Lagi sedap jika dimakan dengan nasi panas,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.
Mazlan Mustapa, 56, bapa lima orang anak dan bekerja sendiri berkata, memancing ikan selepas musim menuai amat menyeronokan kerana hasil pancing lebih banyak berbanding hari-hari biasa.
‘Letak angkat, letak angkat. Itulah yang menjadi kepuasan dan keseronokan memancing ikan di sawah pada musim ini. Ikan mudah makan umpan tidak seperti memancing di sungai atau tasik.
“Setiap hari saya boleh dapat antara 40 ke 60 ekor ikan puyu selain beberapa ekor ikan lain antaranya ikan keli, haruan dan ikan sepat dalam masa sejam dua jam sahaja,” katanya yang menggunakan umpan cengkerik.
Bagi Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pula, beliau gemar memancing ikan puyu dan akan memancing apabila ada masa terluang.
“Bagi saya, memancing ikan puyu dapat beri ketenangan dan merehatkan minda selain dapat mengingatkan kenangan manis memancing bersama arwah mak saya yang gemar memancing ikan,” katanya. – SM