Nasionalpilihan

Pesara dakwa ditipu RM245,000 bina rumah banglo

Seorang pesara swasta kerugian sebanyak RM245,000 apabila diperdaya sebuah syarikat membuat pelan dan membina rumah banglo Mac tahun lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Che Din, 55, berkata, hasratnya untuk menduduki banglo idaman tidak menjadi kenyataan apabila menyedari syarikat terbabit tidak membuat sebarang binaan di tanah miliknya di Muar, Johor.

Menurutnya, dia mula merasakan dirinya telah ditipu setelah pegawai pemasaran dan pengarah urusan syarikat tersebut mula gagal dihubungi selepas dia membayar RM15,000 bagi pelan rumah dan RM230,000 sebagai proses pembinaan rumah peringkat pertama.

“Apabila syarikat terbabit gagal dihubungi serta WhatsApp tidak dijawab saya mula curiga dan merasakan diri saya telah ditipu.

“Susulan dari itu saya telah membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam tenghari semalam,” ujarnya dalam sidang akhbar di Bukit Beruang di sini semalam.

Che Din berkata, dia terpedaya apabila melihat satu iklan di laman sosial Facebook sebuah syarikat menawarkan perkhidmatan membina
rumah banglo pada 14 April tahun lalu.

Katanya, dia menghubungi syarikat terbabit dan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai pemasarannya di pejabat cawangan di Taman IKS Merdeka, Batu Berendam.

“Setelah persetujuan dibuat, saya telah membawa pegawai itu ke rumah saya di Muar, Johor pada 22 April bagi melihat tapak pembinaan rumah banglo yang dijanjikan,” ujarnya.

Katanya, syarikat itu kemudiannya telah memintanya membuat pembayaran RM15,000 bagi tujuan dokumentasi pelan sebelum menandatangani kontrak pembinaan rumah banglo di atas tanah miliknya.

Ujarnya, pada 10 Ogos dia menerima pesanan khidmat ringkas (SMS) memintanya menjelaskan segera bayaran fasa pertama keseluruhan berjumlah RM230,000.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang merupakan pemilik sebuah restoran di Bukit Beruang dikenali sebagai Ahmad Fuad, 38, berkata, dia kerugian sebanyak RM15,000 ditipu syarikat yang sama bagi membuat pelan rumah.

Katanya, mengikut perjanjian asal pelan rumahnya dijangka siap dalam tempoh empat bulan selepas bayaran dibuat pada 22 Ogos tahun lalu.

“Namun apabila pelbagai alasan diberikan ekoran kelewatan mereka menyiapkan pelan yang dijanjikan saya mula curiga dengan syarikat tersebut,” ujarnya.

Bagi seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, beliau diperdaya RM15,000 selepas menggunakan khidmat syarikat itu untuk membuat pelan rumahnya.

“Mengikut perjanjian pelan rumah saya itu sepatutnya siap dalam tempoh tiga bulan.

“Namun setelah bayaran dibuat pegawai pemasaran syarikat itu mula membuat pelbagai alasan dan akhirnya tidak dapat dihubungi,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button