Nasional

Pesakit kanser bertambah, sebabkan 1 daripada 6 kematian

JUMLAH kes kematian akibat penyakit kanser terus meningkat setiap tahun bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018 melaporkan satu daripada enam kematian di dunia adalah disebabkan oleh kanser.

Di Malaysia, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19%) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%).

“Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9%) dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%),” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau berkata demikian sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun.

Menurut Health Facts terbitan KKM pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital-hospital swasta (33.19%) dan keempat utama di hospital kerajaan (12.18%).

Lebih menakutkan, peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat pada peringkat III dan IV meningkat dari 58.7% pada 2001 hingga 2011 kepada 63.7% pada 2012 hingga 2016.

“Situasi ini adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser,” kata Dr. Noor Hisham.

Jelas beliau, KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma.

Sementara perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu.

Dr. Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan ancaman virus Covid-19 terhadap pesakit kanser ketika ini.

Pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius.

“Oleh itu, KKM telah mengambil langkah-langkah kawalan yang ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan semasa temujanji dan rawatan pesakit kanser.

“KKM juga memastikan semua pesakit kanser menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Hari Kanser Sedunia hari ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini.

Justeru, KKM meminta supaya pencegahan kanser dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Mereka yang mempunyai tanda dan gejala kanser perlu segera menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut.

“Jalani ujian saringan kanser yang telah disediakan; dan dapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan,” pesan Dr. Noor Hisham.

Jelas beliau, pencegahan dan pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button