Kontinjen silat Melaka mensasarkan untuk membawa pulang dua pingat emas pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Tertutup Kuching dari 27 Februari hingga 5 Mac ini.
Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sasaran dua pingat itu adalah menerusi Mohd. Iqbal Roiif Mat Sofian, 16, bagi kategori
kelas H dan Mohd. Daniel Adnan, 13, bagi kelas B Putra.
Menurutnya, pencapaian kedua-dua pesilat itu pada Kejohanan Satu Sekolah Satu Silat Kebangsaan baru-baru ini apabila membantu kontinjen Melaka meraih lima pingat emas serta menduduki tangga
ketiga keseluruhan.
Beliau berkata, untuk kejohanan di Sarawak Pesaka Melaka menyenaraikan 18 pesilat terdiri daripada dua wanita dan 16 lelaki untuk memikul cabaran bukan setakat dengan sasaran dua emas
tetapi lebih daripada itu.
“Secara realistik peluang untuk merangkul dua emas adalah cerah namun berdasarkan prestasi pesilat lain tidak mustahil kita mampu menyumbang lebih pingat.
“Selain itu kita turut mensasarkan untuk berada dalam tiga kelompok terbaik bersaing hebat dengan pesilat dari negeri lain termasuk tuan rumah Sarawak yang pasti akan mendominasi kejuaraan ini,” ujarnya kepada pemberita selepas penyerahan bendera kepada kontinjen Pesaka Melaka di Baitul Tariq, Klebang Permai malam tadi.
Sebanyak 16 buah negara dengan hampir 800 pesilat dijangka menghangatkan saingan buat julung kali penganjuran silat antarabangsa di Sarawak Bumi Kenyalang itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM87,470 menjadi rebutan.
Mohamad Ali berkata, kontinjen Melaka tempang apabila pesilat kembar, Muhammad Daniel Azrol dan Muhammad Daniel Azrai bagi kategori tempur putra tidak dapat disenaraikan selepas dipilih
menyertai skuad silat kebangsaan tiga hari lalu.
Katanya, jika ada kedua-dua pesilat kembar itu kontinjen Melaka mampu menyumbang tiga pingat emas. – SM