Perubahan nama, lokasi penceramah luar negara sampai khutbah Jumaat ini
PEMAKLUMAN ada perubahan pada senarai nama empat ilmuwan terkenal luar negara dan lokasi untuk menyampaikan khutbah solat Jumaat dalam bahasa Inggeris di empat buah masjid di Perlis pada 26 Januari ini.
Sheikh Hussain Yee akan menggantikan Dr. Abu Ameenah Bilal Philips di Masjid Alwi, Kangar; Dr. Muhammad Salah di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar; Sheikh Assim Al-Hakeem di Masjid Negeri, Arau dan Sheikh Wasim Kempson di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
Para ilmuwan ini akan berada di negeri ini bagi menjayakan program “Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2024” pada 27 dan 28 Januari ini di Dewan 2020, Kangar.
Perubahan terkini ini telah dipersembah maklum oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-2 Tahun 2024 di Masjid Ali Imran, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir CEO Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed.
Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada 20 asnaf terpilih bagi anak kariah Pauh Putra.
Masing-masing menerima RM700 dengan jumlah penuh diagihkan oleh MAIPs pada sesi ini berjumlah RM14,000. – SM