Nasional

Pertunjukan fesyen didapati langgar SOP, polis cari penganjur, tetamu

POLIS mengesahkan sedang mencari penganjur dan tetamu yang didapati telah melanggar pematuhan operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Glam Hall, Damansara pada 24 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, semakan video yang tular di media sosial mendapati memang berlaku perlanggaran SOP di dalam majlis tersebut.

“Penganjur juga telah memuat naik pelbagai gambar sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.

“Dianggarkan lebih 50 orang tetamu yang hadir tidak memakai pelitup mula dan tidak melakukan penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ku Mashariman, pihaknya masih mengesan penganjur serta tetamu yang hadir dalam majlis tersebut untuk tujuan siasatan.

Jelasnya, semakan daftar kehadiran melalui aplikasi ‘MySejahtera’ akan dilakukan.

Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 22 (a) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu, pertunjukan fesyen tersebut menjadi tular di laman sosial apabila pemilik jenama itu bergurau senda dengan mengatakan tiada SOP diamalkan di majlis tersebut.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan tetamu duduk dengan rapat dan tanpa memakai pelitup muka juga tular di laman sosial. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button