Kemalangan

Pertindihan dua garisan di NKVE cetus kemalangan – KKR

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan siasatan terperinci dilakukan ke atas nahas membabitkan dua kenderaan akibat kekeliruan pertindihan garisan jalan berbeza warna di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan awal syarikat konsesi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mengenal pasti kawasan pertindihan garisan jalan yang perlu ditambah baik sejak sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, DASH mula melakukan proses menghitamkan garis jalan yang bertindih sejak semalam dan akan melihat secara keseluruhan kadar penghitaman yang diperlukan dengan kerja penambahbaikan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari.

“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan DASH juga akan menilai semula keadaan di tapak di NKVE, terutamanya garis jalan kuning dan putih supaya lebih teratur dan jelas serta selamat untuk dilalui pengguna.

“Saya menekankan perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

“Pada masa sama, saya juga menyeru semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu. Keselamatan di jalan raya adalah tanggung jawab kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas nahas membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di NKVE dipercayai akibat kekeliruan garis jalan berwarna kuning dan putih yang bertindih.

Dalam satu video kamera papan pemuka yang merakam insiden nahas itu, sebuah kereta MPV dilihat cuba memotong MPV lain, namun kenderaan itu hilang kawalan selepas keliru dengan garis jalan berwarna kuning yang bertindih dengan garis putih, sebelum kedua-dua kenderaan itu berlanggar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button