Persetujuan Goldman Sachs bukti PN utamakan penyelesaian 1MDB
PERSETUJUAN Goldman Sachs untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan kerajaan memberi keutamaan dalam menyelesaikan skandal 1MDB.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha tersebut mesti digiatkan lagi kerana masih banyak lagi dana negara yang mesti dikembalikan kepada perbedaharaan negara
“Kita mengucapkan syabas kepada Menteri Kewangan dan Peguam Negara serta semua pegawai Kerajaan yang terlibat dalam ikhtiar mengembalikan semula dana negara yang hilang,” kata Mohamad.
Menurut Mohamad, keputusan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah dalam kes tersebut adalah tepat.
Langkah tersebut berupaya menjimatkan kos,masa dan tenaga semua pihak terutamanya apabila negara sangat memerlukan dana dalam menampani kegawatan ekonomi sekarang.
Pada 24 Julai lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan Goldman Sachs bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang sudah disusun dan diatur oleh mereka untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dengan jumlah penyelesaian tersebut dan wang yang diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, lebih dari AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada Malaysia.
Penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui tiga urus niaga bon terbabit.
MOF dalam kenyataan berkata, Goldman Sachs, atas biayanya sendiri juga akan membantu kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset lain yang kini berada di luar Malaysia.
“Jumlah penyelesaian ini adalah satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran kerajaan pada 2019,” katanya MOF.
Penyelesaian oleh Goldman Sachs ini juga adalah satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya di dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB.
Penyelesaian ini juga tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB.-SM