Politik

Persefahaman rentas parti satu tawaran berjiwa besar

Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyokong inisiatif yang telah diumumkan Perdana Menteri untuk membuka kerjasama semua pihak dalam mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.

“Inisiatif yang dibentangkan hari ini sekiranya undi percaya di parlimen diterima kelak, seperti peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang sama dengan ahli parlimen kerajaan, penyertaan menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara, menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, undang-undang lompat parti, reformasi parlimen rentas parti dengan menambah jumlah jawatankuasa pilihan khas parlimen, pelaksanaan undi 18; semua ini adalah sesuatu yang ditunggu oleh mereka yang ingin melihat kesuburan proses demokrasi dalam negara.

“Apa yang lebih menarik adalah kedudukan ketua pembangkang yang diberikan kemudahan setara dengan Menteri Kanan. Ini adalah satu perkembangan menarik yang belum pernah berlaku dalam negara ini. Nampaknya ketua pembangkang perlu berfungsi untuk turut sama membangun negara, bukan lagi hanya membangkang apa sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan,” katanya.

Justeru beliau berharap semua pihak mengguna peluang keterbukaan pihak kerajaan ini untuk memperteguhkan kembali pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi Raja Berpelembagaan, mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya serta menyemarakkan Islam sebagai teras kepada perpaduan.

Sehubungan itu, katanya PINTAR menggesa para pemimpin parti-parti politik untuk kembali memberikan tumpuan kepada kemaslahatan rakyat, bukannya berterusan melakukan gerakan politik untuk merampas kuasa, mengganti Perdana Menteri dan seumpamanya.

“Komitmen jelas Perdana Menteri yang telah dimaklumkan tempohari kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya pada sidang parlimen pada bulan September nanti sewajarnya dijadikan medan untuk menentukan keabsahan sokongan tersebut.

“Namun agak mengecewakan kerana terdapat pihak-pihak yang terus sahaja mendesak serta memberikan tekanan politik kepada kerajaan. Dalam keadaan semasa yang sedang berlaku sekarang, boleh dikatakan setiap hari rakyat akan mendengar mengenai tindakan-tindakan politik yang ingin dilakukan terutama oleh pihak yang cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

“Pada hemat kami, ia bukanlah satu perkara yang baik untuk negara di mana kita melihat ia memberikan kesan kepada kestabilan dan juga usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menangani pandemic covid-19,” katanya.

Rakyat, ujar beliau, sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpin politik ini yang saban hari memberi fokus perebutan kuasa, bukannya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, yang hilang pekerjaan dan ada yang tidak cukup makanan disebabkan kehilangan punca pendapatan ketika ini.

“Kita dapati terdapat titah Raja-Raja Melayu yang prihatin terhadap suasana politik semasa. Antaranya titah KBDYMM Sultan Selangor, KBDYMM Sultan Johor dan KBDYMM Pemangku Raja Pahang. KBDYMM Raja-Raja Melayu telah menzahirkan keprihatinan dan menyeru supaya menjaga kestabilan dengan memberi fokus kepada inisiatif menghadapi pandemik covid-19.

“PINTAR ingin menegaskan supaya rakyat menolak pemimpin parti-parti politik yang suka menangguk di air keruh yang mana ia boleh menggadaikan nyawa rakyat tanpa menghiraukan bahaya penyebaran covid-19. Pihak yang memberikan risiko kepada rakyat ini perlu ditolak.

“Berdasarkan ini, PINTAR juga ingin merayu KBDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi menyekat pihak-pihak yang sentiasa ingin mendapatkan kuasa. Ada baiknya pihak istana bertindak selaku pendamai dengan menggalakkan perundingan untuk kestabilan kerajaan sehinggalah satu tempoh kita dapat menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan melakukan proses PRU-15,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button