Ekonomi

Perodua sasar jualan 240,000 unit pada 2020

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan menjual 240,000 unit kenderaaan pada 2020, hampir tidak berubah berbanding 240,341 unit yang dijual tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata sasaran itu akan dipacu oleh pengekalan angka jualan Myvi generasi ketiga dan Bezza yang berwajah baharu.

Zainal juga tidak menafikan bahawa Perodua mengeluarkan sekurang-kurangnya satu model baharu tahun ini.

“Dalam persekitaran permintaan yang kukuh, kami menjangkakan prestasi jualan tahun ini akan setanding dengan tahun lepas. Kami optimis namun berhati-hati bahawa angka itu boleh dicapai walaupun pasaran yang lebih kompetitif tahun ini,” katanya kepada pemberita pada Semakan Tahunan Perodua 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi jumlah jualan 2020, Zainal berkata model Myvi dan Bezza dijangka menerajui permintaan. masing-masing sebanyak 83,000 dan 54,000 unit.

Setakat ini, lebih 2,000 unit Perodua Bezza wajah baharu, yang dilancarkan dua minggu lepas, telah diserahkan kepada pemilik masing-masing daripada sebanyak 15,000 pesanan, termasuk 8,000 pesanan yang ditukar daripada model sebelumnya.

Zainal berkata jumlah keseluruhan industri 2019 dianggarkan sebanyak 604,775 unit dengan Perodua menguasai hampir 40 peratus daripada bahagian pasaran Malaysia berbanding 38 peratus pada 2018.

Beliau berkata Perodua juga menjangkakan pengeluarannya akan meningkat sebanyak empat peratus kepada 254,000 unit tahun ini daripada 244,400 unit pada 2019.

Beliau berkata Perodua dijangka membelanjakan RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, peningkatan 11 peratus daripada RM5.4 bilion yang dibelanjakan pada 2019.

Perodua turut mencatat keuntungan eksport tahun lepas, mengeksport 2,825 unit berbanding 2,184 unit, ke tujuh negara.

“Bezza muncul antara subsedan-1.0 liter paling laris di Sri Lanka, selain menembusi pasaran baharu di Seychelles,” katanya.

Mengenai perbelanjaan modal, Zainal berkata Perodua memperuntukkan RM1.06 bilion tahun ini, terutama untuk mengubah suai dan menambah baik serta memodenkan kemudahan pengeluaran dan perkhidmatannya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button