Permerkasaan TVET lahirkan modal insan kompeten bertaraf dunia – Raja Muda Perlis
Agenda pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang didukung Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) adalah selaras dengan hasrat negara dalam membangunkan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi dengan melahirkan graduan TVET berkualiti. Ini bagi memastikan negara mampu menghasilkan modal insan yang kompeten, bertaraf dunia dan memenuhi permintaan industri dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Politeknik dan Kolej Komuniti juga telah berupaya menjalankan kajian dengan geran yang ditawarkan. Melalui TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS), sejumlah hampir RM1.5 juta telah diperuntukkan, dan 15 politeknik telah berjaya bagi fasa 2020 dan 2021. Daripada jumlah ini, hampir RM200,000 telah dianugerahkan kepada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin melalui 3 kajian berasingan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyampaikan titah perasmian ‘National Conference on TVET Undergraduate Students (NCTS 2021)’ yang diadakan secara webinar pada hari ini.
Seminar selama sehari suntuk yang melibatkan sebanyak 100 kertas pembentangan secara ‘live video linkage’ antara pembentang terus ke panel tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pengajian Tinggi melalui Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis.
Tambah Tuanku Raja Muda, inisiatif dana yang dilancarkan semenjak 2018 di bawah Tonggak ke-6 Kerangka TVET 4.0, secara tidak langsung menyumbang terhadap peningkatkan kualiti profesionalisma kakitangan akademik Politeknik dan Kolej Komuniti.
Terdahulu daripada itu, Ketua Pengarah JPPKK, Teknologis Zainab Ahmad menyampaikan ucapan aluan kepada majlis. Hadir sama, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis, Abdul Malek Hassan.