Perlu masa untuk tambah baik Akta OKU 2008 – Ras Adiba
USAHA menambah baik Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 memerlukan masa bagi memastikan keseluruhan isu kebajikan golongan istimewa dapat diberikan tumpuan sepenuhnya, kata Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi dan Pengasas Persatuan Bersama OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi.
Sudah dua tahun beliau bersama kumpulan Harapan OKU menjalankan perbincangan secara terperinci bagi memastikan kebajikan golongan tersebut diberi perhatian menerusi penggubalan akta.
“Untuk penambahbaikan ini, ia mengambil masa yang mana pihak kami menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan OKU supaya kita mendapat gambaran lebih jelas untuk keperluan mereka, selain mengelak layanan atau tanggapan ‘dwistandard’ kurang baik terhadap golongan ini.
“Sekarang ini, antara perkara yang tidak ada dalam akta itu ialah dari segi penguatkuasaan seperti tandas, tempat meletak kereta dan pelbagai lagi kemudahan lain yang sering diketepikan.
“Maka kita perlu lihat perkara ini dengan lebih inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khemah Sedekah Jariah Orang Kota Bharu (OKB) Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) di Rumah Kaseh Bakti OKB di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Hadir sama Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.
Ras Adiba berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan dan rujukan daripada rakan-rakan perundangan bagi memastikan setiap dasar yang dilakukan bertepatan dengan undang-undang kerajaan. – BERNAMA