Perlu intervensi tangani masalah literasi murid-murid, titah Pemangku Raja Perlis
Murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan literasi perlu ditangani secara bijaksana dan memerlukan intervensi yang bersesuaian serta berimpak tinggi agar masalah ini tidak berlanjutan untuk mereka hingga ke peringkat menengah.
Pada masa yang sama semua pihak hendaklah mengambil cakna agar masalah penguasaan asas 3M yakni membaca, menulis dan mengira ini menjadi agenda utama di peringkat prasekolah dan sekolah rendah. Perancangan yang strategik dan komprehensif berupaya menangani isu keciciran dalam kalangan murid.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih di Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis.
70 asnaf terpilih dari kariah Masjid Al-Hussain Kuala Perlis dan 70 lagi dari kariah Padang Besar Selatan mssing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Tuanku Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama mengiringi Baginda berdua ialah Anakanda Bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tambah Tuanku Pemangku Raja, ‘Berdasarkan sumber daripada Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023, sebanyak 175,304 orang atau 13 peratus kanak-kanak di hujung usia persekolahan rendah di Malaysia tidak menguasai literasi. Data ini agak membimbangkan dan perlu dipandang serius kerana pendidikan di peringkat rendah adalah asas penguasaan ilmu dan kemahiran. Sekiranya kemahiran asas tidak kukuh, mana mungkin mereka dapat menguasai pelbagai bidang ilmu yang lain’.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Di samping kita memberi penekanan kepada penguasaan pengetahuan dan kemahiran, jangan kita alpa untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti berbudi pekerti mulia, menghormati, saling menyayangi, toleransi dan nilai kesantunan yang tinggi kepada anak-anak kita agar mereka menjadi insan yang seimbang dan harmonis dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai’.