Politik

Perlu impian baharu, kata MP DAP selepas gagal tolak Belanjawan

Kepimpinan pembangkang memerlukan impian dan harapan baharu. Itu penegasan tiga ahli Parlimen DAP iaitu Teo Nie Ching (Kulai), Yeo Bee Yin (Bakri) dan Hannah Yeoh (Segambut) selepas pembangkang tewas dalam undian menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam satu nota yang dikongsi di media sosial masing-masing, mereka tidak dapat menahan diri daripada merenung kembali perbahasan Belanjawan 2021 ketika duduk bersama-sama di sebuah restoran untuk makan tengah hari, hari ini.

Mereka menyarankan agar pemimpin pembangkang kembali semula ke meja rundingan dan memikirkan kembali apa yang boleh mereka tawarkan kepada tanahair dan rakyat.

“Doakan kami mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan sekali lagi. Ketika kita hampir melabuhkan tirai tahun ini, kita perlukan impian yang baharu. Harapan baharu.

“Pengorbanan daripada diri sendiri wajib dilakukan oleh kita semua dengan meletak tepi semua agenda peribadi demi membina sebuah impian yang kolektif.

“Jika seorang, kita mungkin agak terbatas – minat dan cita-cita kita. Dua tentunya lebih baik daripada seorang. Tetapi tiga tali disimpul tentunya sukar diputuskan (sepertimana persahabatan kami). Harga sebuah perpaduan tidak ternilai harganya,” kata mereka..

Mereka turut menegaskan, ahli Parlimen pembangkang telah menunjukkan prestasi dan kesatuan yang terbaik di Dewan Rakyat semalam.

Ini kerana mereka telah berjaya mengumpul semua kekuatan untuk menggagalkan Belanjawan 2021.

“Kami berjaya mengumpul sepenuh kekuatan untuk menentang Belanjawan 2021 tetapi kami masih tidak berjaya.

“Hampir setahun berlalu sejak Langkah Sheraton berlaku. Kami memiliki lebih banyak masa untuk mempertimbangkan dan berusaha mengambil semula apa yang telah dicuri daripada kita.

“Terlalu banyak kekecewaan yang kita sendiri dan penyokong kita rasai hari ini terutamanya pengundi yang membayar harga yang sangat tinggi untuk mengundi dan melakukan pengorbanan yang lain,” kata mereka.

Menurut mereka, banyak isu penting yang dibangkitkan di Dewan Rakyat terhadap Belanjawan 2021 nanum tidak mendapat jawapan yang memuaskan dari Menteri Perikatan Nasional.

Dalam pengundian terakhir Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan ketiga semalam ahli Parlimen pembangkang hanya mempunyai 108 undi untuk menolak RUU tersebut.

Sebaliknya RUU tersebut disokong oleh 111 ahli Parlimen yang lain sekaligus Belanjawan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button