Nasional

Perlis, Sarawak, Labuan beralih ke Fasa 3 PPN

Tiga negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara bermula Rabu ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.

“Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos 2021. Tahniah dan syabas saya ucapkan,” kata Muhyiddin.

Beliau turut mengingatkan agar penduduk negeri terbabit mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan.

Muhyiddin juga mahu semua usaha untuk menambah baik situasi pandemik di negeri tersebut diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

Sementara itu. Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin serta kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

Muhyiddin berkata perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat.

“Ingin saya tekankan juga di sini bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” kata Muhyiddin – SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button