PERLIS buat julung kali akan memperkenalkan anugerah Olahragawan dan Olahragawati sukan yang akan diadakan pada Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ia sebagai penghargaan oleh kerajaan negeri terhadap ahli sukan yang berjaya mengharumkan nama Perlis di temasya sukan di dalam mahupun luar negara.
“Sekaligus ini akan memberikan semangat kepada ahli sukan di negeri ini untuk terus mencipta kejayaan di bidang masing-masing,” katanya pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen & Pemberian Bantuan Pengurusan Pasukan Sempena Sukma XX MSN 2022 Serta Penyerahan Insentif Kemenangan Kepada Atlet Negeri Perlis Sempena Sukan SEA Hanoi 2021 di Dewan Warisan, Kangar hari ini.
Hadir sama Exco Belia dan Sukan Negeri, Hamizan Hassan yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen ke SUKMA.
Bagi SUKMA kali ini akan Kontinjen Perlis akan menghantar 450 orang termasuk 277 atlet dan 74 pegawai yang akan menyertai 25 acara tidak termasuk sukan demonstrasi.
Sementara itu Hamizan berkata, buat pertama kali juga pada tahun ini insentif akan diberikan kepada atlet yang memenangi pingat pada SUKMA nanti.
“Insentif segera ini akan diberi sebaik sahaja atlet dikalungkan pingat kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ini.
Hamizan berkata, kategori pingat emas akan menerima RM1,000, perak (RM750) dan gangsa (RM500).
“Pada SUKMA kali ini, kita menyasarkan pingat emas untuk tenis, kayak angkat berat, tinju dan juga olahraga,” katanya.
Pada majlis ini juga disampaikan insentif untuk enam atlet Perlis yang menang pingat di Sukan SEA Hanoi 2021.
Penerimanya Muhamad Syafiq Zuber yang mendapat pingat emas bagi acara taekwondo diberikan Insentif RM3,000.
Manakala Ju Pha Som Net (pingat perak – berbasikal wanita berpasukan), Atachai Saiphrawat Kiang (gangsa – kick boxing) dan Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan (gangsa e-sukan) masing-masing menerima RM1,000.
Nur Natasha Amira Fazil (sepak takraw wanita berpasukan dan Koay Hao Sheng (Tenis berpasukan) yang masing-masing mendapat pingat gangsa menerima RM750 setiap seorang. – SM