AgamaNasionalNegeri

Perlis galakkan solat Aidiladha di tanah lapang

SOLAT Aidiladha di seluruh Perlis esok digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) mulai pukul 8 pagi seperti pelaksanaannya tahun sebelum ini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullal bertitah, pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Perlis dan pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.

“Adalah digalakkan para jemaah untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu seperti memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri,” titah Baginda yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Selain itu titah Baginda, pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidiladha seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Titah Baginda, pihak masjid, surau (berdaftar), Jabatan/ Agensi Kerajaan dan NGO adalah dibenarkan untuk mengelola dan menganjurkan ibadah korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Besarlah harapan beta agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, diamati serta dipatuhi oleh seluruh rakyat yang beta kasihi,” titah Baginda.

Pada kesempatan ini, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan Raja Perlis.

Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Raja Perlis amat baik dan dalam ‘afiyah.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata.

Selain itu, Beta turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.

Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh disisi Allah Azza Wajalla.

Beta dan Raja Puan Muda Perlis serta seluruh usrah kerabat DiRaja menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1444H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.

Dalam kenyataan Istana Arau, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan untuk berangkat bersama-sama rakyat jelata menunaikan Solat Sunat AidilAdha bertempat di Dataran Istiadat Istana Arau mulai pukul 8 pagi, esok.

Jemaah di Kariah Kota Raja Arau dijemput untuk menunaikan Solat Sunat AidilAdha.

Jemaah yang hadir perlu perlu membawa sejadah sendiri seorang satu bagi setiap ahli keluarga yang hadir, lengkap berwudhu, digalakkan memakai pelitup muka, disaran membawa uncang kasut.

Jika keadaan cuaca tidak sesuai, maka Solat Sunat AidilAdha di Dataran Istiadat
Istana Arau akan berpindah ke ruang solat Masjid Negeri Arau (tiada Solat Sunat AidilAdha untuk kali ke-2 di Masjid Negeri Arau). – SM

BACA Pemangku Raja Perlis solat Aidilfitri di Dataran Istiadat, Istana Arau

BACA Pemangku Raja Perlis solat Aidilfitri bersama lebih 1,000 jemaah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button