Nasional

Perlis diharap terus jadi kiblat ilmu pengetahuan agama – Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap negeri ini akan terus menjadi kiblat ilmu pengetahuan agama yang berteraskan hujah dan dalil serta bersifat progresif dan moderat.

Baginda bertitah pandangan, cadangan dan fatwa dari Perlis berhubung hal ehwal agama semakin mendapat tempat, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Perlis tetapi di Malaysia secara keseluruhannya.

“Rakyat Perlis hendaklah celik agama dengan memahami apa yang diamalkan, bukan mengikut sesuatu tanpa memahami alasannya,” titah baginda pada Istiadat Pelancaran Sambutan Satu Kurun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Dua Dekad Pemerintahan Raja Perlis dan Dua Dasawarsa Pemasyhuran Raja Muda Perlis di Istana Arau, Jumaat.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah Perlis merupakan antara negeri terawal yang menjadikan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi negeri, bahkan dalam Perlembagaan negeri, istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah ditegaskan sebanyak tujuh kali dalam fasal-fasal yang pelbagai.

“Perlis tidak mengikat diri dengan hanya satu mazhab, bahkan menerima kesemua mazhab fiqah yang berada dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah dan semua pandangan fiqah lain yang dinilai dan dipilih oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Syed Faizuddin Putra sebagai Yang Dipertua MAIPs telah membawa agensi itu melangkah jauh ke hadapan dan menjadi tanda aras kepada banyak pihak dalam pelbagai perkara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button