GARA-GARA memperkosa rakan bawah umur yang dikenali melalui media sosial, termasuk di sebuah surau, seorang pelajar kolej berusia 19 tahun bakal berhadapan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Kerana takut akan hukuman berat yang bakal dikenakan, tertuduh, Muhammad A’azib Darwish Rosli menggigil ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.
Memetik BHOnline, tertuduh berhadapan tiga pertuduhan merogol rakan berusia 13 tahun dan dia mengaku bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim bertanyakan yang mana sama ada dia mengetahui atau tidak akan menerima hukuman berat atas kesalahan dilakukan, membuatkan dia menggigil dan juga seolah-olah ketakutan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah surau dalam daerah ini, pada pukul 3 petang, 5 Mac lalu.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia sekali lagi mengulangi perkara sama di sebuah pondok juga dalam daerah Muar, pada pukul5.30 petang, 20 April lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.