Ekonomi

Perkhidmatan penyelenggaraan pesawat tercanggih kini di Malaysia

ASIA Digital Engineering Sdn Bhd (ADE), anak syarikat milik penuh AirAsia Group Berhad, bakal menjadi penyedia perkhidmatan kejuruteraan penerbangan terkemuka di Asia dengan kelulusan penyelenggaraan berat oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Dengan kelulusan tersebut, ADE bukan sahaja akan melakukan penyelenggaraan talian tetap, malah penyelenggaraan berat (hangar atau C-check) untuk penerbangan di bawah AirAsia Group, dan sedia untuk menyokong syarikat penerbangan pihak ketiga untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).

Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata: “ADE terus mencatatkan kemajuan walaupun ia dilancarkan semasa pandemik pada bulan September tahun lalu. Kini, kami berbesar hati untuk mengembangkan perkhidmatan kami untuk menyokong penyelenggaraan pesawat bagi AirAsia Group dan syarikat penerbangan lain di rantau ini.”

“Sebelum ini, AirAsia Group telah menghantar pesawat mereka kepada pengendali MRO lain untuk penyelenggaraan berat berjadual, dan kini ia boleh diselenggara secara tempatan di Malaysia seterusnya memberikan lebih kecekapan dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Selain itu, ADE telah mendapat kelulusan oleh Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) India dan Indonesia dan kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan lain di Asean serta Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) untuk kelulusan bagi menyokong lebih banyak pengendali tempatan, serantau dan antarabangsa dengan teknologi, inovasi, dan perkhidmatan bernilai terbaik dengan kualiti tertinggi.

“Kami sentiasa percaya bahawa Malaysia harus menjadi hab strategik untuk penyelenggaraan pesawat di rantau ini dan di peringkat global, supaya kita dapat terus mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi pada masa hadapan, dan kami mengucapkan terima kasih kepada CAAM kerana menyokong visi kami. Berdasarkan permintaan, kami berharap untuk mengembangkan kemudahan dan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat di KLIA, Johor dan lapangan terbang lain di Malaysia melalui hangar sedia ada atau membina hangar baharu.

“Kelulusan penyelenggaraan berat oleh CAAM bakal menjadikan ADE bukan hanya pengendali MRO terbesar di Malaysia, malah salah satu pengendali terbesar di Asean dan di peringkat global. Apa yang paling penting, ADE akan terus mendorong inovasi digital di bahagian penyelenggaraan berat kami untuk membolehkan ADE menawarkan penyelesaian terkemuka, keberkesanan kos dan kualiti tertinggi dalam industri melalui teknologi tercanggih, yang mungkin tidak didapati sebelum ini.

“Operasi kami didorong oleh data besar dan teknologi digital tercanggih. Sebagai sebuah syarikat digital yang bersepadu, kami berusaha untuk mencapai kecemerlangan operasi melalui keterlihatan, kecerdasan, dan keputusan yang ditingkatkan dan ditakrifkan oleh data. Dengan menggabungkan data daripada operasi harian kami dengan sumber data luaran, kami dapat memberikan penyelesaian yang paling menyeluruh untuk memenuhi keperluan mereka.

“Kami mempunyai pasukan dengan pengalaman lebih dari 19 tahun yang menyokong operasi syarikat penerbangan AirAsia Group, serta tenaga kerja teknikal yang berkelayakan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dalam apa jua operasi. Oleh kerana setiap pesawat adalah unik dan setiap situasi memerlukan penyelesaian yang disesuaikan dengan hasil yang optimum, kami akan sentiasa memastikan penyelesaian terbaik dan disesuaikan untuk menyokong pelanggan kami.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button