PERKESO buka permohonan program di bawah Bajet 2022
PERMOHONAN bagi enam (6) program di bawah Bajet 2022 yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah mula dibuka sejak 1 Januari 2022 yang lalu. Program- program tersebut adalah SIP Subsidi Upah Bersasar; SIP Elaun Mencari Pekerjaan+; SPS Padanan Caruman; SPS Khidmat, Program JaminKerja – Insentif Penggajian; dan SIP Gig.
SIP Subsidi Upah Bersasar (PSU 5.0)
Majikan daripada sektor pelancongan yang terkesan dan mengalami penurunan pendapatan akibat penularan COVID-19 boleh membuat permohonan bagi program SIP Subsidi Upah Bersasar atau PSU 5.0 bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Insentif kewangan yang diberikan adalah sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja selama tiga (3) bulan, terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan.
SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+)
Bagi meneruskan pemberian bantuan SIP Prihatin 2.0 yang berakhir pada 31 Disember 2021, individu yang kehilangan pekerjaan atau sedang mencari pekerjaan boleh memohon Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) menerusi program SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+). Inisiatif ini telah ditambah baik pada tahun ini di mana bantuan kewangan ini turut diberikan kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO.
Program ini adalah bertujuan untuk menambahbaik faedah PERKESO bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan ataupun menganggur pada kadar jangka masa panjang. Permohonan bagi pencarum PERKESO telahpun dibuka selama enam (6) bulan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022. Sementara itu, permohonan SIP EMP+ bagi individu bukan pencarum PERKESO telahpun dibuka selama 12 bulan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022.
SPS Padanan Caruman
Untuk golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) khususnya daripada lapan (8) kategori seperti orang asli atau orang asal, pekerja gig, penjaja, Orang Kurang Upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita, mereka boleh memohon insentif SPS Padanan Caruman untuk dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO selama setahun.
Bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS ini akan dibiayai oleh Kerajaan sebanyak 80 peratus (RM186.20), manakala baki 20 peratus (RM46.60) perlu dibayar oleh OBS. Insentif ini diharapkan dapat mengurangkan beban caruman bagi OBS untuk mendapatkan perlindungan di bawah PERKESO serta memupuk kesedaran akan kepentingan Keselamatan Sosial dalam kalangan OBS. Permohonan SPS Padanan Caruman boleh dibuat mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022.
SPS Khidmat
OBS yang tergolong dalam empat (4) kategori ini iaitu anggota pasukan sukarelawan, pekhidmat rumah ibadat Islam (JAKIM), penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan anggota sektor awam berstatus Contract For Service layak memohon program SPS Khidmat. Insentif dengan bantuan pembiayaan penuh oleh Kerajaan untuk caruman bawah Pelan Caruman Kedua dan Keempat SKSPS ini menyediakan tempoh perlindungan setahun kepada OBS yang berdaftar. Permohonan bagi SPS Khidmat kini dibuka sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dengan mengemukakan permohonan melalui agensi pentadbiran kawal selia masing-masing.
Program JaminKerja – Insentif Penggajian
Mulai tahun 2022, para majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu dalam kalangan perantis, graduan dan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas tentera dan bekas banduan boleh memohon insentif penggajian daripada PERKESO menerusi Program JaminKerja – Insentif Penggajian. Majikan daripada semua kategori industri yang berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 Januari 2022 boleh menikmati insentif maksima sebanyak RM36,000 untuk setiap pekerja yang digajikan dalam tempoh 12 bulan. Program JaminKerja – Insentif Penggajian turut boleh dimanfaatkan kepada majikan yang mengambil pekerja daripada golongan wanita, sektor berkaitan pelancongan dan melaksanakan penggantian jawatan pegawai dagang (expatriate) dengan pekerja tempatan.
Insentif penggajian ini dijangka dapat merangsang penawaran pekerjaan dalam kalangan majikan serta mengurangkan kadar pengangguran negara dengan sasaran penempatan
sebanyak 250,000 pencari kerja. Permohonan bagi program ini boleh dibuat secara dalam talian mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022
SIP Gig
Individu yang tergolong dalam kumpulan yang diberikan notis cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, menganggur lebih 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas atau suri rumah yang tidak bekerja lebih dari enam (6) bulan, boleh memohon insentif kewangan di bawah program SIP Gig.
Program ini menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sehingga RM800 sebulan selama maksimum enam (6) bulan kepada individu di atas yang bekerja dalam sektor tidak formal atau ekonomi gig melalui platform berdaftar di bawah PERKESO untuk jangka masa pendek. Permohonan insentif telahpun dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022
Keluarga Malaysia khususnya mereka yang layak untuk memohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan dengan segera. Layari laman web rasmi PERKESO di pautan www.perkeso.gov.my untuk memohon kesemua inisiatif tersebut kecuali SPS Khidmat. Bagi inisiatif SIP EMP+ (individu bukan pencarum PERKESO), SPS Padanan Caruman dan SIP Gig permohonan juga boleh dibuat menerusi Aplikasi PRIHATIN PERKESO yang boleh dimuat turun di AppStore atau PlayStore. Maklumat lanjut bagi setiap inisiatif boleh diperoleh menerusi Soalan-soalan Lazim (FAQ) di laman web rasmi PERKESO dan media sosial rasmi PERKESO atau hubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000. – SM