Nasional

Perkembangan positif vaksinasi, SOP Fasa 1, 2 dilonggar

Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2 hingga 3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Itu antara perubahan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 dan Fasa 2 berikutan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dilonggarkan dalam SOP Fasa 1 PPN adalah kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Selain itu perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

Related Articles

Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6.00 pagi hingga 4.00 petang dan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.

Manakala, waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.

Pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan beroperasi 24 Jam.

Pengoperasian lombong dan kuari dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP Perlombongan dan Pengkuarian.

“Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan,” kata Ismail Sabri.

Sementara perubahan dalam Fasa 2 PPN membolehkan penggambaran filem di luar studio dilakukan dengan pematuhan SOP ketat. Selain itu waktu operasi premis perniagaan bermula pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Dalam pada itu sebanyak 31 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup semalam kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ismail Sabri juga memaklumkan seramai 541 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam. Daripada jumlah itu, seramai 492 individu dikompaun manakala 20 lagi direman dan 29 dijamin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button