Nasional

Perintah Kawalan Pergerakan: Harap lebih ramai duduk di rumah

Usaha bersama putuskan rangkaian COVID-19

HARI ini masuk hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan ke atas rakyat Malaysia bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang mencatat peningkatan kes dari sehari ke sehari dalam negara kita.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah usaha kita bersama untuk mencegah COVID-19 gelombang ketiga daripada melanda negara kita.

Memetik laporan BERNAMA, selepas hari pertama arahan itu dikeluarkan, hanya 60 peratus sahaja dalam kalangan masyarakat di negara kita yang mengikut arahan tersebut.

Oleh itu, tindakan segera telah diambil oleh pihak penguatkuasaan terutama polis dengan mengadakan sekatan jalan raya  selain daripada memberi nasihat kepada orang ramai sejak malam hari pertama penguatkuasaan perintah itu dikeluarkan.

TINDAKAN tegas di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK), akan digunakan pada orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan,

Kesedaran tentang pentingnya Perintah Kawalan Pergerakan masih perlu ditingkatkan kerana masih ramai yang tidak mempedulikannya.

Kenapa? Ini berkemungkinan kerana sikap degil dan keras kepala atau tidak menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan ‘episod’ jangkitan wabak COVID-19 berpanjangan dan semakin serius.

Ada yang masih bersantai di kedai makan dan tidak kurang mengambil kesempatan tempoh 14 hari yang diberikan (sehingga 31 Mac ini) untuk membawa keluarga bercuti dan balik ke kampung.

Sedangkan tujuan sebenar perintah itu dikeluarkan adalah untuk memastikan rakyat kekal di rumah sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan virus itu.

Perintah yang berkuat kuasa selama 14 hari mulai Rabu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan mungkin terpaksa menggunakan khidmat anggota tentera jika masih ramai yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan itu.

“Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya… kemungkinan tentera… kemungkinan akan digunakan.

“Jadi sebelum tentera digunakan saya percaya mungkin tak perlu, tetapi jika tak ada pilihan pematuhan masih kekal setakat 60 peratus dan 70 peratus, saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan,” katanya.

Untuk memastikan pematuhan itu juga, Polis Diraja Malaysia telah melakukan sebanyak 504 sekatan jalan di seluruh negara dan sebanyak 6,135 kenderaan diperiksa.

“Setakat hari ini, pihak polis telah mengambil tindakan berhemah dengan menasihati sahaja dan saya percaya kalau pematuhan ini masih tidak meningkat saya percaya pihak polis terpaksa gunakan undang-undang dan mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi,” kata Ismail Sabri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah mengarahkan kesemua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai Polis di seluruh negara untuk membuat sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mengurangkan pergerakan mereka.

Abdul Hamid memaklumkan pihaknya bersedia mengambil tindakan drastik serta-merta jika orang ramai gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan seramai 8,600 anggota di seluruh negara terlibat dalam OP COVID-19 yang menumpukan di kawasan tumpuan orang ramai.  –  SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button