NasionalNegeri

Perintah berkurung Esszone dilanjut

Kumpulan penculik masih cuba menceroboh

PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan terbabit dilarang menghampiri atau berada di kawasan perintah berkurung antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan di situ.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat di kawasan daratan Esszone.

Katanya lagi, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta memberi rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button