Perikatan Nasional Gopeng janji bawa pembaharuan pada masyarakat Orang Asli
GOPENG 9 Nov. – Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa perubahan, pembangunan dan prihatin pada keperluan masyarakat Orang Asli.
Ini termasuklah di Gopeng khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja kerana aspek tersebut tidak boleh diabaikan.
Calon PN DUN Teja, Ahmad Ishak berkata, sejak lebih empat penggal lepas atau 20 tahun masyarakat Orang Asli di Gopeng seolah-olah keciciran.
Tegas beliau yang juga Pengerusi Bersatu Gopeng, tiada perbezaan pada masyarakat Orang Asli dengan masyarakat lain, justeru hak mereka juga tidak boleh dinafikan.
“Kita menyantuni masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan di Gopeng ini
dan berterima kasih kepada Tok Batin.
“Di sini kita boleh melihat keadaan mereka sejak empat penggal lalu ketinggalan, daripada segi infrastruktur, pendidikan dan perumahann
“Masyarakat Orang Asli ini apa yang kita dapat mereka juga mesti dapat. Taraf kehidupan orang asal saudara kita mesti ditingkatkan dalam segi pendidikan, ekonomi,” ujarnya.
Jelas Ishak, dalam soal pendidikan misalnya, tiada talian telefon atau capaian internet di situ lantas menyukarkan mereka mengecapi teknologi.
Katanya lagi, kawasan perumahan penempatan orang asal juga hendaklah dikawal atau mempunyai sempadan supaya dalam radius 1 kilometer agar tidak boleh dikacau tanpa persetujuan tok batin.
“Tok batin ini merupakan individu yang harus dijaga. Mereka penting dalam masyarakat Orang Asli,” jelasnya.
Sehubungan itu kata Ahmad, Perikatan Nasional hadir membawa tekad jika diberi peluang memimpin negeri dan negara demi membawa perubahan besar.