Nasional

Hilangnya sebutir permata: Pengarah pertama ITM Tun Arshad Ayub meninggal dunia

TERINGAT kembali detik menerima segulung ijazah am Kajian Sebaran Am bidang Komunikasi Massa (Kewartawanan) dari tangan Tun Arshad Ayub.

Memandang tepat antara empat mata, Tun pada ketika itu bergelar Tan Sri Arshad mengucapkan, Tahniah dan dengan rasa gembira, bangga dan bersyukur, kaki melangkah turun dari pentas Dewan Sri Budiman, Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, Selangor pada tahun 1990/1991.

TANGKAP layar dari Facebook Datuk Nora Ariffin.

Pagi ini, di laman Facebook penyanyi Datuk Nora Ariffin tercatat kembalinya ke rahmatullah Tun Arshad Ayub.

Allahyarham Tun Arshad juga merupakan Tokoh Pendidikan Negara, Arshad Ayub meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi.

Mengesahkan berita pemergian itu, keluarga Allahyarham menerusi kenyataan berkata, jenazah Allahyarham masih berada di hospital.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sejak Selasa lalu akibat masalah kesihatan.

Allahyarham Tun Arshad berusia 93 tahun adalah Pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975 yang mana pada hari ini, ITM dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sepanjang hayatnya, Allahyarham Tun Arshad menabur bakti di UiTM dan dilantik sebagai pro-canselor.

Ketika hayat dikandung badan, Allahyarham Tun Arshad pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian serta Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Allahayarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

AlFatihah buat Allahyarham Tun Tan Sri Arshad Ayub. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tan Sri daripada warga kerja SUARA MERDEKA. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button