Perdana Menteri Mengutamakan ‘Politik Maslahat’ dan Bukan ‘Politik Muslihat’
Oleh – Rudi Hairy Aziz
Kes COVID di Malaysia secara keseluruhannya hampir mencapai angka 1.17 juta. Kematian lebih 9,500 orang. Ekonomi susah. Rakyat berhadapan kesukaran. Ini fakta.
Perdana Menteri hari ini mengambil laluan yang cukup baik dan positif untuk negara. Ini cara seorang “negarawan” dalam mengendalikan krisis. Tidak goyah dan tidak panik. Mesej jelas PM, kita utamakan agenda kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
Tidak ada ungkapan PM hari ini yang menidakkan kuasa dan kemuliaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong; malah menerima peruntukan dan fasal Perlembagaan yang dikemukakan Duli Tuanku. Menderhaka jauh sekali. Tidak lari daripada keperluan mengemukakan bukti sokongan dan ia akan dilakukan di dalam Parlimen. Tuanku juga telah memperkenan akan hasrat PM itu.
Rakyat akan menghakimi seadil-adilnya mereka yang menggunakan ruang politik untuk memperdaya kesejahteraan dan keselamatan rakyat untuk kepentingan diri seperti ini.
Sikap penting diri, haloba dan sentiasa bermuslihat untuk jawatan dan bermuslihat untuk melepaskan diri dari proses Mahkamah ketika mana rakyat berhadapan kesusahan ini, amat wajar kita buka mata dan hukumi kelak.
Hari ini, PM telah membuktikan beliau tidak akan lari ketika berhadapan ujian yang getir. Itu sesuatu yang amat rakyat hargai. Pemimpin yang sebenar-benarnya baik tidak wajar dinilai ketika waktu selesa; tetapi pemimpin yang sentiasa berani berhadapan cabaran dan kontroversi.
Semoga ketidaktentuan politik ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya di Parlimen nanti. Dalam tempoh sebulan lebih ini, usaha memerangi COVID-19 dan memastikan seramai mungkin rakyat dapat divaksinasi akan dapat diteruskan – tanpa helah dan tanpa sebarang muslihat.