NasionalpilihanTravel

PERDA giat rancakkan kembali sektor pelancongan inap desa

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan geran sebanyak RM 4.45 juta untuk Program Pelancongan Inap Desa di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Haji Hasbi Habibollah berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 173 buah inap desa dan peserta melibatkan 10 kampung mendapat manfaat menerusi program promosi, latihan dan bimbingan selain program pengurusan yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM 4.45 juta ini diterima sejak tahun 2014 lagi daripada pelbagai agensi seperti Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, KPLB dan PERDA membuktikan keperihatinan kerajaan dalam menjaga pengusaha inap desa pelancongan di negeri ini.

“Program Inap Desa Pulau Pinang ini mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi pensijilan dan pengiktirafan yang dikeluarkan di bawah MOTAC untuk membolehkan inap desa ini diiktiraf dan dipromosikan melalui pelbagai medium seperti Expo MATTA Fair dan Karnival Keusahawan di bawah KPLB.

Hasbi berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program My Kampung Homestay Pulau Betong di sini hari ini.

Hadir sama Dato’ Muhammad Yusof Mohd Nor, Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya, dan Pelancongan, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, Pengerusi PERDA, dan Mohd Asri Baharom@Harun, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) PERDA,

Berdasarkan data, jumlah keseluruhan pendapatan peserta inap desa seluruh Pulau Pinang adalah RM 3.24 juta dengan 38 ribu orang pelancong domestik dan antarabangsa menggunakan inap desa sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2014.

Beliau menambah, pengusaha inap desa ini terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19 dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021.

“Sebilangan kecil pengusaha terpaksa menutup inap desa berikutan tidak lagi menerima kunjungan pelancongan pada kedua-dua tahun tersebut serta tidak mampu lagi menanggung kerugian dan penyelenggaraan inap desa yang tidak digunakan.

Justeru, program yang dilaksanakan oleh PERDA ini mampu mempromosikan semula inap desa selain untuk memastikan pengusaha inap desa sudah bersedia untuk kembali beroperasi fasa endemik ini”, ujar beliau.

“Promosi untuk pelancongan inap desa di Pulau Pinang tiada noktahnya. Kita akan teruskan promosi ini menggunakan pelbagai medium bagi menggalakkan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara menggunakan inap desa sebagai destinasi percutian.

KPLB dan PERDA berharap dengan sokongan daripada kerajaan mampu untuk merancakkan kembali sektor pelancongan inap desa selain untuk mempromosikan aktiviti di inap desa masing-masing menerusi keunikan dan ciri-ciri tersendiri seperti eco-pelancongan, dusun buah-buahan, taman negara dan bercirikan makanan tradisional dan laut”, ujar Hasbi lagi.

Beliau menambah, pengurusan pelancongan inap desa di negeri-negeri lain wajar menjadikan pelancongan inap desa di Pulau Betong ini sebagai penanda aras berikutan kejayaan pelancongan inap desa di sini berjaya memperoleh geran RM 1.5 juta pada tahun 2016 menerusi Anugerah Desa Lestari di bawah KPLB. – SM

Artikel berkaitan > 5 tahun terlalu lama untuk sektor pelancongan pulih

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button