BeritaPendidikan

Konvo UPSI melabuh tirai, VC mahu martabatkan bahasa Melayu

Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-23 selama lapan hari yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan setiap kali ucapan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff terdapat elemen memartabatkan bahasa Melayu.

Sebagai alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang pertama menjadi Naib Canselor universiti pendidikan tersohor itu, Md Amin tidak melupakan sejarah perjalanan penubuhan UPSI yang bermula dari legasi Sultan Idris Training College (SITC).
Katanya, pada zaman SITC lahirnya Pendeta Za’ba serta pengarang-pengarang kreatif tersohor seperti Harun Aminurrashid , Ahmad Bakhtiar, , Abdullah Sidek, Muhd Yassin Makmur (Pungguk) , Ahmad Murad Nasaruddin, Ngumba, Cintati, Masuri SN, Baharuddin Yaakob, Buyung Adil, Suratman Markasan, malah zaman Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) melahirkan Kemala (Ahmad Kamal Abdullah), Rahman Shaari, Othman Puteh, A Wahab Ali, Nazel Hashim Mohamad dan ramai lagi.
“Justeru, pada konvokesyen kali, saya menerapkan elemen kebahasaan dan kesusasteraan seperti puisi, seloka, pantun, kata pujangga serta pelbagai kiasan ,” katanya.
Rata-rata netizen memuji pendekatan Md Amin berikutan begitu menyentuh perasaan terutamanya dalam menghargai insan berjasa kepada graduan seperti ibu bapa dan pensyarah mereka.
Apresiasi terhadap seramai tujuh graduan menerima ijazah masing-masing secara anumerta , penerima berkeperluan khas dan melanjutkan pengajian pengajian pada lanjut usia dipersembahkan ucapannya dalam susunan bahasa Melayu yang indah sehingga menyentuh jiwa hadirin.

Kelainan turut dilakukan oleh Md Amin apabila meminta keluarga graduan yang menerima anugerah kecemerlangan naik ke pentas bersama-sama selain meminta graduan berdiri untuk memandang ibu bapa dan memberi tepukan khas untuk insan tersayang itu.
“Saya berusaha menggarap susunan ucapan dalam ayat yang komunikatif tetapi indah sehingga menusuk kalbu dalam nada yang tenang dan syahdu untuk hadirin memberi fokus terhadap ucapan,” katanya.
Walaupun pada peringkat sarjana dan doktor falsafah pengkhususan pengajiannya menjurus kepada rekreasi luar, namun pada peringkat awalnya di Maktab Perguruan Sri Pinang adalah dalam bahasa Melayu.
“Oleh itu, selaras pula dengan aspirasi Perdana Menteri yang ingin bahasa Melayu diperkasakan sehingga ke peringkat antarabangsa, saya berpendapat langkah ini tepat pada masanya,” katanya.

(Visited 236 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button