Kejayaan pelbagai inisiatif dalam banyak bidang kehidupan sama ada dalam segmen sosial, keagamaan, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya yang dijana menerusi amalan wakaf telah terbukti sejak sekian lama.
Peranan wakaf juga adalah sebagai salah satu sumber kewangan sosial Islam yang mapan dalam memperkasa ekonomi negara.
Impak daripada amalan wakaf telah menatijahkan kejayaan pelbagai kemajuan dan pembangunan negara, serta menyumbang dalam membantu pihak pemerintah melengkapkan segala fasiliti dan prasarana asas yang diperlukan oleh rakyat.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menerima mengadap satu delegasi dari Bukhara, Uzbekistan yang turut mengiringi Baginda dalam program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli, petang semalam.
Yang hadir ialah Imam Khatib Masjid Jami Khoja, Abdulxoliq Gijduvoni dan Imam Khatib Masjid Jami Mavlono, Shamsuddin Mahbubiy
Hadir sama Setiausaha Pertama di Kedutaan Besar Uzbekistan Kuala Lumpur, Bakhtiyor Mukhitdinov.
Raja Muda juga berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlahRM21,000 kepada 30 asnaf terpilih masing-masing menerima RM700
setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Hasan, Kampung Jejawi Dalam, Jejawi untuk diagihkan amilnya, Muzammil Ahmad.
Penyerahan tersebut diadakan di pekarangan Teratak Rahmat di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis di Km 1.2, Jalan Mata Ayer.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Raja Muda, amalan berwakaf begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat Islam sejak sekian lamanya.
Wakaf bukan sahaja suatu ibadah ‘sunnah muakkadah’ iaitu amalan sunnah yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri dan sebagai simbolik pengabdian dan kesyukuran seseorang hamba kepada Allah SWT, bahkan wakaf mempunyai signifikan dan impak penting dalam melengkapkan keperluan ummah di samping menjanjikan ganjaran kebajikan yang berterusan kepada pewakafnya. – SM