Peranan masjid sangat signifikan pada kekuatan umat Islam – Raja Muda Perlis
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya umat Islam mengambil peringatan bahawa masjid memainkan peranan yang begitu signifikan terhadap kekuatan umat Islam.
Sehubungan itu, titah Baginda, setiap masjid perlu mengutamakan dua perkara di mana yang pertama menjadikan ia sebagai Markas Tajammu’ (yakni Pusat Pertemuan atau Berkumpulnya umat Islam).
“Umat Islam diseru agar menghadirkan diri masing-masing dan memakmurkan semua masjid yang ada,” titah Baginda.
Raja Muda bertitah demikian ketika merasmikan Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Nurudeen Neeyah, Phuket, Thailand.
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Di Pertua MAIPs mengetuai 35 peserta delegasi ini ke Wilayah Phuket mulai 5 hingga hari ini, 7 Ogos.
Baginda juga diiringi oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Selain itu titah Baginda, bagi mereka yang telah dilantik mengurus dan mentadbir masjid juga perlulah mengambil inisiatif dan bersikap lebih kreatif serta proaktif dalam menyusun atur segala bentuk aktiviti pengimarahan masjid kepada komuniti dan masyarakat setempat bagi menarik mereka untuk terus mendekatkan diri dengan masjid.
Manakala perkara kedua yang perlu diutamakan titah Baginda, jadikanlah masjid sebagai Markaz Talluf (yakni Pusat Penyatuan Hati Umat Islam).
Sehubungan itu, katanya, umat Islam yang hadir ke masjid perlulah mementingkan aspek kesatuan dalam segenap tindak tanduk mereka.
“Perasaan saling sayang menyayangi sesama Muslim haruslah disuburkan dan dikembangkan kepada semua generasi,” katanya.
Namun katanya, pada masa yang sama, hindarilah daripada sifat-sifat yang negatif ataupun menimbulkan sebarang bentuk perbalahan sesama masyarakat kerana masjid itu sendiri adalah tempat yang amat suci dan mulia bagi umat Islam.
“Masjid adalah “Rumah Allah” yang harus disayangi, dijaga dan dipelihara kesuciannya,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Baginda juga menyerahkan bantuan RM5,500 kepada masjid berkenaan.
Selain itu, Baginda juga berkenan menyerahkan plaka kepada pihak yang membantu menjayakan program Ziarah Marhabbah MAIPs kali ini. – SM