Nasional

Peralihan Fasa PPN di Lembah Kelang, Melaka, Kedah

Penonton dan penyokong dibenarkan ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi

LEMBAH Kelang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Melaka akan beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kedah yang kini berada di Fasa 1 akan beralih kepada Fasa 2 berkuatkuasa Jumaat ini.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob peralihan fasa tersebut dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4,
adalah sama dengan sebelum ini.

Sementara itu Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat beberapa kelongaran SOP.

Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50% ruang premis, manakala 100% kapasiti penuh bagi Fasa 4.

“Bagi individu yang belum divaksin, mereka perlu menjalani ujian sebelum majlis menggunakan kit ujian kendiri sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” kata Ismail Sabri.

Sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya dibuka di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober ini.

Penonton dan penyokong dibenarkan ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” kata Ismail Sabri.

Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini, boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button