Nasional

Perak benar solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid dan surau diri Jumaat bermula esok selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata baginda turut memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

“Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid/surau.

“Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Shahrul Azam berkata setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran serta mengambil wuduk sebelum datang ke masjid atau surau dan membawa sejadah masing-masing.

Beliau berkata jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah serta takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar rumah ibadat itu.

Syarat lain, katanya, adalah tempoh masa bermula azan, khutbah sehingga selesai solat Jumaat serta tempoh mula bertakbir sehingga selesai khutbah solat sunat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

“Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit.

“Penyusunan saf dan kedudukan hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai serta tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid/surau selepas selesai urusan solat,” katanya.

Beliau berkata pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat wajib memastikan semua syarat dipatuhi dan kebenaran akan ditarik balik bagi yang gagal mematuhinya.

Shahrul Azam berkata arahan dan ketetapan itu hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga pihaknya mengeluarkan arahan baharu. — BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button