Belang Bertempat

Pak Long Mail-Penyokong nombor satu perjuangan Palestin

Oleh Muammer Gaddafi Hilmi

BIAR kata selari dengan tindakan. Itu baru betul ‘cakap serupa bikin’.

Bak kata orang Perak: ‘Usah berlabunlah’!

Jika benar-benar berani mengungkapkan perasaan benci kepada rejim Zionis Isreal, sila buktikannya dengan tindakan.

Barulah orang akan percaya kita pejuang sejati. Bukan hangat-hangat tahi ayam. Biar tegas!

Begitu juga dengan barisan kepemimpin negara. Kata-kata yang diungkap seharusnya selari dengan tindakan.

Bukan sekadar mahu populariti atau ambil ‘mileage’ apabila sesuatu isu sedang hangat dibicarakan oleh netizen.

Begitu juga dengan isu Palestin yang hangat diperkatakan di peringkat global ketika mana rejim zionis Israel bertindak menyerang serta menzalimi penduduk asal negara bergolak tersebut.

Jadi sila buktikan. Bukan sekadar omong kosong yang bermain di bibir yang manis.

Sebagai contoh, netizen mungkin boleh melihat kepada ketegasan yang ada pada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha beliau membela nasib rakyat Palestin.

Bukan sahaja tegas menyeru rakyat berbilang bangsa di negara ini untuk menyatakan solidariti kepada Palestin, beliau juga telah berjaya membuktikannya.

Bukan sahaja pada hari ini, malah sejak tahun 2014 lagi Ahli Parlimen Bera ini telah mengiyakan apa yang dikata olehnya.

Pada 6 Ogos 2014, beliau yang mesra disapa sebagai Pak Long Mail telah membuktikan sokongan penuhnya ke atas umat Islam di Palestin.

Ahli politik senior ini telah bertindak dengan tegas untuk membatalkan kad kredit miliknya dengan sebuah bank bertaraf antarabangsa.

Tindakan drastik itu dibuat ekoran tanda protes daripada dirinya berhubung tindakan bank tersebut yang menutup akaun milik pertubuhan-pertubuhan Islam yang menyokong Palestin.

Tanpa sebarang sesalan, Pak Long Mail menggunting kad kredit miliknya dengan syarikat perbankan antarabangsa itu.

Malah tindakan beliau menggunting kad kredit itu telah dimuat naik di dalam akaun Facebook miliknya.

Ini baru dikatakan ‘gentleman’! Bukan hangat-hangat tahi ayam.

Namun pasti akan ada pihak yang mempersoal: “Kenapa Pak Long Mail atau kerajaan tak hantar tentera kita ke Palestin?”.

Seharusnya kita memahami situasi sebenar.

Meskipun pihak tentera kita berupaya dan telah terbukti dalam beberapa misi ketenteraan di peringkat antarabangsa sebelum ini, namun semuanya masih bergantung kepada pihak keselamatan dunia.

Seorang kanak-kanak Palestin ditangkap oleh sekumpulan askar Israel.

Sebagai contoh, Malaysia perlu mendapat ‘pelawaan’ terlebih dahulu daripada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan NAM untuk menabur bakti di negara bergolak tersebut.

Memang terdapat usaha nak hantar tentera bantu Palestin, namun kita masih terikat dengan undang-undang antarabangsa.

Pertempuran di Palestin bukan sebuah peperangan yang sewenang-wenangnya boleh disertai oleh negara luar.

Sebagaimana negara-negara lain, Malaysia juga terikat dengan perundangan antarabangsa.

Selagi mana tidak mendapat kelulusan daripada pihak PBB, pihak ketenteraan Malaysia tidak boleh dihantar ke medan perang di bumi Palestin.

Sekiranya Malaysia bertindak menghantar misi bantuan ketenteraan ke negara bergolak tersebut, pastinya negara akan dikenakan tindakan daripada badan keselamatan dunia tersebut.

Jalan yang salah tidak boleh menghalalkan niat murni negara untuk membantu negara saudara seislam yang lain.

Sehubungan itu, tindakan Malaysia untuk tidak menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke negara luar termasuk Palestin secara sendirian atau bersifat unilateral adalah tepat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya tidak mensensasikan isu seumpama ini kerana ia merupakan ketetapan pihak keselamatan dunia.

Bukan kita tidak mahu membantu Palestin yang merupakan saudara seislam kita, tetapi jelas terdapat ‘halangan besar’ yang mengenepikan hasrat murni Malaysia ke atas bumi Gaza.

Malah Ismail Sabri turut menegaskan bahawa, penugasan ke negara luar hanya boleh dilaksanakan di bawah pasukan pengaman PBB.

Tegas beliau, penghantaran pasukan ketenteraan dari negara luar ke Palestin juga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana terikat dengan undang-undang antarabangsa.

“Kita memang ada menghantar misi pengaman di bawah panji-panji PBB. Sebagai contoh di Lubnan. Namun kita tidak boleh menghantar secara sendirian kerana ia melibatkan undang-undang antarabangsa.

“Jika PBB minta kita untuk hantar tentera sebagai pengaman di Palestin, kita sedia untuk melaksanakannya,” katanya dalam majlis lawatan dan taklimat persediaan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, baru-baru ini.

Isu Palestin bukan perkara mudah seperti yang disangkakan oleh orang ramai. Kalau nak hantar tentera, boleh jer hantar. Silap tu saudara!

Sekiranya hasrat murni rakyat negara ini telah ‘disampaikan’ oleh kerajaan, menjadi tugas kita untuk berdoa agar tentera Malaysia dapat berbakti.

Maka buat masa ini, kita masih menanti kelulusan daripada pihak keselamatan antarabangsa untuk membolehkan ATM berbakti di sana.

Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita sama-sama untuk senantiasa berdoa agar keadilan dapat ditegakkan.

Semoga perjuangan sahabat-sahabat kita di Palestin akan mencapai kejayaan.

Atau setidak-tidaknya, rakyat Palestin mendapat hak mereka kembali di tanahair sendiri.

Teruskan berdoa untuk mereka. Jangan pernah jemu.

Jika ada saluran yang boleh dibantu, hulurkanlah bantuan sewajarnya.

Percayalah, janji Allah SWT itu benar. Kebenaran pasti akan terserlah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button