Penumpang ingkar SOP tidak dibenar menaiki bas
PENUMPANG yang ingkar dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menggunakan perkhidmatan wakan tudak akan dibenarkan menaiki bas.
Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw berkata, SOP diarahkan oleh Kerajaan Negeri itu harus diikuti demi kepentingan bersama.
“Saya telah memohon agar pihak Majlis Perbandaran Sibu menanda tempat duduk yang disediakan dan mengikuti penjarakan sosial yang telah ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Sementara itu, polis akan memeriksa semua bas yang tiba atau bertolak dari terminal di Sibu, Sarawak untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Deputi Superintenden Ariffin Bahar berkata, stesen bas henti-henti berhampiran Terminal Penumpang Sibu adalah di bawah Balai Polis Sentral Sibu.
“Ini bermakna Terminal Bas Pusat Komersial Pahlawan ini adalah dipantau oleh pasukan dari Balai Polis Sungai Merah.
“Kita sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua bas ekspres yang tiba dan bertolak dari Sibu,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Menurutnya, setiap pasukan pematuhan dengan kekuatan seramai enam anggota dan Unit Rondaan Kenderaan dan Unit Rondaan Bermotosikal.
“Syif pertama bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang, manakala syif kedua dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam,” ujarnya.
Sementara itu, orang ramai juga boleh menghubungi Talian Hotline Aduan COVID-19 Bahagian Sibu iaitu 084-322222 atau 013-9994158 untuk menyalurkan aduan pihak yang tidak mematuhi SOP. – SM