Hiburan

Penumbuk, penendang bukan kekuatan dan jalan penyelesaian

MELAYANGKAN penumbuk dan penendang ke arah bahagian muka, dada, perut, bahagian belakang badan, cekik dan ugut bunuh bukan adegan atau aksi seorang hero dalam drama televisyen yang mana semua itu adalah lakonan semata-mata.

Kalau ditumbuk dan tendang serta cekik betul-betul akan lebam dan birulah jawapannya dan tidak akan kedengaran suara Tuan Pengarah menyebut CUT!

Lakonan di set penggambaran jangan dibawa sampai keluar kerana hakikatnya, yang menjadi mangsa sepak terjang dan diugut bunuh pasti akan melaporkannya kepada pihak penguat kuasa.

Tindakan hero Malaya ini terhadap mangsa yang tinggal di kondominium di Segambut dua tiga hari lepas telah mengundang padah kepada dirinya sendiri apabila dia direman sehingga esok untuk siasatan polis.

Dalam tempoh reman, Seksyen 115 Kanun Keseksaan dan juga mengikut etika kewartawanan, tidak boleh menyebut nama suspek kerana ia menjadi satu kesalahan undang-undang dan boleh mengganggu siasatan polis.

Suspek dalam kisah benar ini pernah dikatakan mempunyai sikap yang panas baran dan tak peduli orang sekeliling kerana latar keluarganya yang didakwa berpengaruh. Dalam erti kata lain, suspek ikut kepala dia sendiri!

Namun ia bukanlah satu contoh yang baik ditunjukkan oleh suspek kerana apa yang dilakukannya hari ini atau perbuatannya yang agresif boleh menjadi ikutan darah dagingnya nanti.

Sebaiknya apa juga masalah yang timbul pada malam itu, diselesaikan dengan cara berhemah. Benda boleh bincang, tak perlu guna sepak terajang.

Kiranya sudah dua malam, tak semena-mena, tidur dalam sel dan tunggu matahari terbit pada keesokan harinya untuk mendengar sama ada tempoh reman tidak disambung. Untung sabut, tak sambung reman. Untung batu, sendiri boleh jawab!

Andaikata pihak polis memohon kepada mahkamah untuk menyambung lagi tempoh reman tiga hari yang bermula sejak 18 Jun lalu maka suspek duduklah lagi menunggu sehingga siastan selesai.

Ada juga nasib baiknya dalam senario yang dicetuskan oleh suspek kerana tidak ada production house atau rumah produksi yang sedang mempromosikan drama yang membabitkannya. Kalau tidak, tepuk dahi juga produser drama.

Kemungkinan promosi terhenti, drama yang ditayangkan di TV boleh ‘ditarik’ balik atau dihentikan tayangannya.

Sejauh mana pun hebat lakonan dan mempunyai peminat yang ramai, rasanya production house ‘takut’ nak tawarkan watak dalam drama-drama terbitan mereka dan pihak stesen penyiaran juga harus peka akan sikap artis sebegini.

Bukan meminta kerana nila setitik, rosak susu sebelanga tetapi tindakan kekasaran tidak boleh ditoleransi.

Sebagai rakyat Malaysia, negara kita mempunyai undang-undang. Jangan guna undang-undang rimba kerana ini bukan paparan lakonan hebat pelbagai watak di kaca TV.

Tanpa mengira status kita: artis, selebriti, instafamous, influencer atau apa pun, tiada siapapun yang mengatasi undang-undang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button